Tuan Guru Hj Ahmad kepis

Tuesday, February 21, 2006

Haji Ahmad Kepis (1926-2003)



Latar Belakang


Tokoh ulama ini adalah Tuan Guru Tasawuf mutaakhir yang penyusun kenali dan pernah menziarahinya dalam awal 1990an ketika kami merancang menubuhkan pusat pengajian ala pondok di Kampung Bayai, Serting Ulu. Dalam pertemuan di rumahnya di Kampung Kuala Rembang Panas yang ditemani sahabat bernama Saudara Ghazali Khamis, Tuan Guru ini menyarankan supaya penyusun menghubungi pihak agama Negeri terlebih dahulu bagi mendapatkan kebenaran. Kami sebelumnya berhasrat untuk memujuk beliau menjadi penasihat pusat tersebut tetapi kerana tidak bersetuju dengan seranan beliau, penyusun telah melahirkan protes kerana pada pandangan kami ianya lebih akan mengundang banyak karenah. Tuan Guru itu telah menepuk-nepuk peha kanan penyusun seolah-olah bersetuju atau sebaliknya.
Apabila dikhabarkan Tuan Haji Ahmad ini telah meninggal dunia, penyusun merasakan jasa dan sifat kewarakan beliau tidak mudah dilupakan oleh sesiapa sahaja yang mengenali batang tubuh Tuan Guru ini. Jesteru itu, amat wajar sekali riwayat hidupnya dirakamkan untuk pengetahuan generasi akan datang.
Allahyarham selalu disebut-sebut orang khasnya di Daerah Kuala Pilah sebagai guru tasawuf dan sholeh. Masa hayatnya, Tuan Guru ini biasa mengajar kitab tasawuf di masjid atau surau-surau di negeri ini. Walau bagaimanapun, pengajian di rumah beliau lebih ramai dikunjungi penuntut-penuntut berbagai lapisan masyarakat dari luar kampungnya. Mereka ada dari kalangan ahli profesional, bekas pegawai tinggi dan sehinggalah kepada anak-anak muda yang masih gila bermotorsikal. Namun, sebahagian besar penduduk kampung kurang berminat pula untuk bersila mendengar kuliah tokoh ini. Mungkin cara pengajaran dan membuka kitab tasawuf ini dianggap memberatkan bagi mereka yang tidak berminat.
Nama penuhnya ialah Lebai Ahmad @ Lebai Muhamad bin Haji Lasim. Beliau dilahirkan di kampung ini pada tanggal 7 Disember 1926. Nombor kad pengenalannya ialah 1641332 ( 261207-05-5099) beralamat di No. 6, Kg Kuala Rembang Panas, Juasseh, Kuala Pilah. Panggilan biasa Tuan Guru Haji Ahmad Kepis disebabkan beliau pernah bertugas sebagai imam Masjid Kuala Kepis. Bapanya berasal dari Kampung Tengah, Seri Menanti dan berkahwin dengan Lasam binti Deli penduduk kampung ini.
Pendidikan
Menurut isterinya , Haji Ahmad mula belajar agama di pondok Haji Abdul Majid Abdul Karim ( kemudian menjadi mertua) beberapa bulan sebelum pergi Ke Kelantan dengan abangnya bernama Haji Abdul Rashid ( meninggal dunia di Jemapoh). Di Kelantan mereka mengaji di Pondok Pasir Tumbuh untuk beberapa tahun sehinggalah pecah Perang Dunia Kedua. Dalam tempoh perang itu mereka telah balik kampung menaiki keretapi tetapi malangnya, ketika di kampung beliau telah dipaksa berkerja membuat lapangan terbang tentera Jepun di Ladang Juasseh.
Selepas perang, Haji Ahmad pergi pula mengaji agama di Paya Rumput, Melaka. Tarikh tepat dan lokasi pengajian beliau tidak diketahui oleh isterinya. Tetapi di Melaka inilah Haji Ahmad mendapat ijazah mengaji tarekat. Beliau dikatakan mengamalkan berbagai aliran tarekat seperti Tarekat Ahmadiah dan Satariah. Kemudian, beliau bersama abangnya keluar merantau lagi menimba ilmu agama. Kali ini di Pendang, Kedah. Mereka difahamkan memondok di dua tempat semasa di Kedah. Dalam tempoh 3 tahun itu, mereka terpaksalah mengambil upah di musim menuai padi untuk menampung sara hidup.
Berkahwin
Dijangkakan beliau berkahwin semasa masih mengaji di Kedah kerana Haji Ahmad pernah membawa isterinya berjumpa ( menyembah- istilah orang negeri) Tuan Guru di Kedah selepas mereka diijab-kabulkan. Waktu itu usia Haji Ahmad ialah 20 tahun. Mereka dikatakan lewat mendapat cahaya mata dan hampir 10 tahun berkahwin barulah dianugerahkan anak. Isterinya bernama Jariah binti Talib dan mereka memperolehi dua pasang cahaya mata. Apabila isterinya meninggal dunia dalam tahun 1965, beliau terpaksalah menjaga anak-anaknya sendiri.
Dalam tahun 1968, Haji Ahmad dijodohkan pula dengan anak kedua bekas Tuan Gurunya iaitu Haji Abdul Majid Haji Abdul Karim. Isteri keduanya ini ialah Hajjah Salma binti Abdul Majid berusia 29 tahun ketika itu. Hampir empat tahun isteri keduanya menetap di rumah isteri pertama Haji Ahmad sambil menjaga anak-anak tirinya. Setelah dipujuk maka Haji Ahmad bersetuju untuk membina rumah baru di tanah mertuanya iaitu tapak rumah sekarang dalam tahun 1971. Melalui perkongsian hidup dengan anak Tuan Gurunya ini, mereka dianugerah sepasang cahaya mata.
Mengajar
Haji Ahmad pernah mengajar di Sekolah Rendah Sungai Dua Besar dan paling terakhir di Sekolah Rendah Sungai Dua Kecil dalam Daerah Kuala Pilah bersara wajib dalam tahun 1982. Hanya selepas bersara barulah beliau aktif mengajar ilmu tasawuf bermula di rumah-rumah orang yang berminat untuk belajar di Kampung Lubuk Kitan, Juasseh. Walau bagaimanapun, selepas motorsikalnya kehabisan minyak sewaktu keluar mengajar malam dan terpaksalah beliau mengheret motorsikalnya balik ke rumah dan pernah juga tersesat di Felda Bukit Jalur. Haji Ahmad semacam serik keluar mengajar selepas itu dan menyarankan sesiapa yang berminat untuk mengaji supaya datang sendiri ke rumahnya.
Akhirnya rumah beliau telah menjadi tumpuan orang ramai untuk mengaji ilmu tasawuf. Permintaan orang ramai dari beberapa buah masjid dan surau juga mendadak naik. Beliau hanya sanggup menunaikan hajat orang jika ada kenderaan menghantarnya ke tempat-tempat tersebut. Di rumahnya bilangan penuntut semakin ramai dan memaksa beliau membesarkan ruang tamu rumahnya dan membina bilik air tambahan di luar rumah. Kebanyakan yang hadir mengaji ialah orang-orang luar kampung terdiri dari pesara-pesara, wanita dan anak-anak muda yang dahagakan ilmu agama. Ada kalangan mereka datang dari jauh seperti dari Johor, Selangor atau Kuala Lumpur.
Kitab Pengajian
Sebagaimana yang telah dimaklumkan, Allahyarham Haji Ahmad lebih menumpukan mengajar ilmu tasawuf. Kitab-kitab yang sering dibawanya ialah Kitab Darul Napis dan Al Hikam. Guru yang mengajar kitab tasawuf adalah kurang lantaran ianya memerlukan kesungguhan atau guru itu sebagai cermin ilmu. Pastinya penuntut yang berminat mendalami ilmu tasawuf itu sendiri akan menjadikan gurunya 'role model' mereka.
Dalam kitab Wasiat Imam Ghazali – Minhajul Abidin, menyatakan ilmu tasawuf adalah ibadah batin. Jika ibadah seperti sholat, zakat, naik haji dan lain-lainnya dianggap ibadah lahir maka yang batinnya seperti ikhlas, bertawakkal, menjauhi sifat keji seperti takabbur, ujub, riya', buruk sangka dan sebagainya. Pada hakikatnya, tiada manusia yang besar kerana kebesaran atau baiknya seseorang akan diketahui jika saat ajalnya kelak husnul khatimah, tetapi jika suul khatimah penyudahnya maka mereka adalah terlalu kecil dan hina sekali. Kerana itulah ibadah batin seperti mengaji tasawuf ini penting.
Penyusun mengira Tuan Guru ini telah memahami sikap masyarakat sekampungnya bila tidak berminat mengikuti kuliah-kuliah beliau dan bersikap acuh tak acuh dalam mempelajari agama. Yang baik kepada mereka diterima tetapi yang menyusahkan pada kebiasaan mereka akan ditolak walaupun itu tuntutan agama. Disebabkan jadual kuliah di rumahnya agak padat maka kerap pula beliau tidak dapat menghadiri aktiviti penduduk kampung. Keutamaan mengajar ilmu dan kurang menyertai aktiviti orang kampung ini mungkin menambah prasangka masyarakat sediada. Ekoran dari itu, wujudlah salah faham dan membawa kepada kunjungan pihak tertentu menyiasat latar belakang Tuan Guru ini. Ada tekanan supaya Haji Ahmad menghentikan kuliahnya dan mendakwa tahap pengajarannya tidak sesuai untuk orang awam. Media cetak juga pernah mengisytiharkan 'pembawaan' Tuan Guru ini telah disenaraikan hitamkan. Oleh kerana ada tekanan, beliau pernah menghantar surat perletakan jawatan sebagai imam masjid sebanyak dua kali dalam tahun 1993 dan surat bertarikh 20 September 1995.
Jadual Kelas
Kelas pengajian di rumah beliau seperti berikut:
Hari Ahad - Terbuka untuk umum. Bermula jam 8.00 pagi hingga 10.00 pagi.
Hari Selasa - Terbuka untuk umum. Bermula selepas sholat magrib.
Hari Rabu - Khas untuk wanita. Bermula jam 8.00 pagi hingga 10.00 pagi.
Hari Jumaat - Pengajian untuk anak-anak muda. Lebih 30 orang yang hadir.
Keperibadian
Allahyarham disifatkan sebagai seorang yang berbudi bahasa, lemah lembut dan bersifat kasih sayang. Beliau tidak pernah bercakap kasar dan merotan anak-anaknya. Sebahagian besar masa hayatnya ditumpukan kepada membuat amal ibadah. Bibirnya basah dengan zikirullah dan sering bertahajud. Sehinggakan bila kakinya membengkak sebelum meninggal dunia, isterinya menyangkakan kaki suaminya bengkak kerana terlampau banyak bersholat malam. Jiwanya bersih dan tiada jiwa pendendam, miskipun ada yang memandang serong kepada beliau.
Haji Ahmad menunaikan fardhu haji kali pertama bersama isterinya dalam tahun 1973 ketika masih menggunakan kapal laut. Selepas itu keraplah beliau ke sana dengan anak menantunya dalam tahun 1982, 1989 dan terakhir pada 1996.
Hari-Hari Akhir
Bengkak kaki kanannya mungkin menjadi penyebab. Beliau terpaksa diusung ke Hospital Kuala Lumpur dan menerima pembedahan. Agak lama juga Allahyarham menderita sakit ini dan dalam tempoh itu juga beliau dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Daerah Kuala Pilah bagi tahun 2003. Beliau sempat menghadiri majlis pengiktirafan itu dengan keadaan kakinya masih belum sembuh. Pandangan serong terhadap beliau sebelum ini mungkin sudah dilupakan. Tidak beberapa lama selepas itu, beliau kembali dimasukkan ke Hospital Kuala Pilah. Di sanalah, Tuan Guru ini menghembuskan nafas terakhirnya di sisi isteri tercinta. Lidahnya sentiasa basah dengan zikirullah. Pergilah lagi seorang tuan guru dari Tanah Daerah Mengandung Kuala Pilah dengan tenang dan akan sentiasa dikenang. Di sijil kematiannya tercatat tarikh beliau meninggal dunia pada jam 5.15 pagi pada 26 Januari 2003 ( usia 76 tahun) kerana sakit " Non Hodgrin Lymphome With Neutropemia Sepsis".
Di sini penyusun paparkan juga beberapa perkhabaran tentang kelebihan Tuan Guru ini semasa hayatnya. Bahawa ilmu Allah itu terlalu besar dan tidak menghalang pula bagiNya untuk memberi kepada sesiapa yang dikehendaki.
  1. Kerap jamaah haji yang mengenali beliau terserempak batang tubuhnya di beberapa tempat di tanah suci Mekah. Apabila balik ke tanahair dan ditanyakan kepadanya tentang pertemuan itu, beliau mengiakan pula.
  2. Allahyarham pernah memberitahu isterinya, dia ada tempat lain selepas kematiannya.
  3. Pernah bercakap-cakap di kubur apabila menziarahi kubur anak muridnya di Kampung Keru, Padang Lebar, Kuala Pilah. Anak muridnya bernama Salleh. Bila ditanya dengan siapa beliau bercakap, dia menjawab bahawa dia berbual dengan Salleh.
  4. Selepas menguruskan pengkebumian seorang penduduk kampungnya, beliau mengambil kayu dan memacakkannya di suatu tempat. Inilah tapak kuburnya nanti dan mewasiatkan disemadikan di situ.
  5. Sewaktu terlantar di wad Hospital Kuala Pilah, beliau meminta jururawat bertugas membuka pintu bilik wadnya. Dia berkata, ramai tetamu akan melawatnya. Bila ditanya siapa yang akan datang, katanya para nabi dan wali-wali.
  6. Ketika anak-anak muridnya membetulkan papan liang lahatnya, ada kalangan mereka melihat jenazah Tuan Gurunya telah tiada.
  7. Ada seorang anak muda yang selalu mengikuti kuliahnya telah bermimpi, Haji Ahmad duduk di kerusi cantik dan ditemani Tok Kenali. Tok Kenali memberitahu bahawa Haji Ahmad adalah kawan muzakarahnya.

Banyaklah lagi tanda-tanda keramah semasa hayat dan selepas kematiannya. Beliau juga mewasiatkan supaya sholat atas jenazahnya diimami oleh menantunya bernama Abdul Mukti Haji Zakaria sewaktu di rumah dan di masjid pula oleh menantunya Zulfikri Md Zin yang berasal dari Kodiang.

Ralat: Pembetulan fakta:

berikut pembetulan yang disampaikan oleh anak murid TG Haji Ahmad Kepis. Terima kasih kepada sdr redzuan. Harap pembaca dapat memakluminya iaitu:

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarokaatuh:

Saya selaku murid Allahyarham Tuan Guru Hj.Ahmad kepis ingin membuat sedikit pembetulan maklumat:- Tuan Guru menceritakan sendiri kepada saya bahawa beliau belajar di Kelantan pada tahun 1939-1941 di Pondok Bunut Payong Tuan Syeikh Abdullah Tahir, murid tua Tok Kenali (kini pondok tersebut telah tiada) dan belajar daripada beberapa orang murid Tok Kenali yang lain secara halaqah di Masjid Muhammadi Kota Bharu. Bukan di Pondok Pasir Tumboh. Sekembalinya beliau di Negeri Sembilan dengan menaiki keretapi, bom tentera jepun pun jatuh di Kelantan.Beliau memaklumkan bahawa sahabatnya yang belajar bersamanya di Bunut Payong menjadi Guru Tua di Pondok Pasir Tumboh sehingga kini (ketika itu tahun 2001)Sila lakukan pembetulan untuk mengelakkan kekeliruan, terima kasih.

Redzuan.


Kunjungi http://afdhal2004.blogdrive.com//